comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita maut, motosikal ditunggangi bersama anak 5 tahun langgar pembahagi jalan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditungganginya bersama anak perempuan berusia lima tahun melanggar pembahagi jalan di Jalan DM 1, Taman Desa Mas, Rawang, tengah hari semalam.

Nahas berlaku jam 12.30 tengah hari, ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Saujana Rawang menghala ke Jalan DM1/10, Bandar Country Homes, Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kemalangan berlaku selepas mangsa membawa anaknya ke kedai untuk membeli barangan dan dalam perjalanan pulang.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa seorang perempuan warga asing berusia 39 tahun menunggang motosikal Yamaha LC 135, bersama anak perempuannya seorang warga tempatan berusia lima tahun.

“Ketika sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar pembahagi jalan hingga menyebabkan kedua-dua mangsa jatuh ke atas jalan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan dalaman dan anaknya yang cedera pada kepala kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh, bagi mendapatkan rawatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Noor Ariffin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh, untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019-6026596 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini