comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita memandu lawan arus, langgar kereta polis

Foto hiasan

KUALA PILAH: Seorang wanita ditahan selepas dilaporkan melanggar kenderaan polis ketika cuba ditahan kerana memandu melawan arus dekat Jalan Yam Tuan Raden, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, wanita berusia 55 tahun berkenaan ditahan di Pekan Bahau, Jempol, sejauh kira-kira 20 kilometer (km) dari lokasi dia melawan arus.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani berkata, anggota Balai Polis Kuala Pilah yang sedang menjalankan tugas rondaan mengesan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu secara melawan arus di Jalan Yam Tuan Raden.

“Anggota polis cuba menahan kereta itu, namun pemandu seorang wanita tempatan enggan beri kerjasama kepada pihak polis.

“Dalam usaha menahan kereta yang dipandu, suspek melanggar kenderaan pasukan dalam usaha melarikan diri sehingga mengalami kerosakan bahagian hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, dengan bantuan pelbagai cawangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah, kereta itu berjaya ditahan di persimpangan Jalan Bahau- Kuala Pilah berhadapan Stesen Minyak Petron Bahau.

“Suspek seorang wanita umur 55 tahun berjaya ditahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda hingga RM10,000 atau dengan kedua-duanya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini