comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita meninggal dunia atas sejadah sempat sediakan ketupat untuk keluarga 

Arwah ibu kepada Muhammad Fadzli Adnan (baju hitam, belakang) yang meninggal dunia seorang diri di atas sejadah di rumah di Taman Inang, Mergong – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: “Mama sempat siapkan ketupat sejuk beku buat keluarga minggu lalu sempena sambutan Aidilfitri ini kerana dia beritahu buat awal sikit senang, lepas ni tak payah buat dah.

“Namun tak sangka itu ketupat terakhir yang dibuatnya sebelum ditemukan meninggal dunia malam tadi,” kata Muhammad Fadzli Adnan, 33.

Muhammad Fadzli Adnan menunjukkan gambar arwah ibunya (baju hitam, belakang) yang meninggal dunia seorang diri di atas sejadah di rumah di Taman Inang, Mergong – FOTO: NSTP

Muhammad Fadzli adalah anak ketiga Manirah Rafiee, 59, yang ditemui meninggal dunia di atas sejadah di rumahnya di Taman Inang, Mergong, di sini.

Menurutnya, ibunya dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung sejak Khamis lalu sebelum disedari sepupunya malam tadi.

Katanya, dia menerima berita kematian ibu kira-kira jam 9 malam dan pada mulanya menyangka ibunya hanya pengsan.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian dia dimaklumkan ibunya sudah tiada.

“Sepupu saya datang ke rumah mama untuk memeriksa keadaannya selepas tidak membalas mesej WhatsApp selain kali terakhir dilihat aktif dalam aplikasi itu pada jam 7 malam, Khamis lalu.

“Sepupu saya mendapati pintu terkunci dan rumah gelap, namun pendingin hawa berfungsi menyebabkan dia tidak sedap hati dan menghubungi talian kecemasan sebelum bomba datang memecahkan pintu rumah.

“Arwah mama ditemui dalam keadaan berbaring di atas sejadah di ruang tamu dengan kain telekung di sisi,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Inang, di sini hari ini.

Muhammad Fadzli berkata, kali terakhir dia bertemu dengan ibunya Isnin lalu ketika menghantarnya di stesen bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

Katanya, arwah hendak pulang ke Mergong selepas dua minggu tinggal di rumahnya di Bukit Jalil dan adik perempuannya di Seri Kembangan, Selangor.

Katanya, arwah juga sempat memasak lauk berpantang yang dibuat sejuk beku untuk isterinya, Nur Afirah Mohd Rasul, 33, yang melahirkan anak kedua mereka, Nur Aina Falisya, 20 hari sewaktu datang ke rumahnya selain rapat dengan anak sulungnya Nur Afrina Farisya, 8.

“Mama juga sempat menyiapkan tempahan ketupat pelanggan yang juga kenalannya di Kuala Lumpur sebanyak 10 kilogram (kg) untuk Aidilfitri ini.

“Saya dan dua abang serta adik juga bercadang pulang menyambut Aidilfitri ini Isnin depan tetapi tidak menyangka mama pergi dulu.

“Semua persiapan sudah dilakukan malah mama juga sempat membeli dua pasang baju yang berwarna putih dan biru.

“Mama juga mempunyai sejarah penyakit jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung,” katanya.

Jenazah ibunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lengkuas, Bukit Pinang kira-kira jam 11 pagi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia 59 tahun ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Taman Inang, Mergong, di sini.

Wanita itu ditemui terbaring atas sejadah dan dipercayai terperangkap dalam rumah yang berkunci dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini