comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita Myanmar dipenjara 12 tahun miliki 277.9g methamphetamine

Soe Soe dihukum penjara 12 tahun atas pertuduhan memiliki 277.9g methamphetamine. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seorang wanita warga Myanmar dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 277.9 gram (g) dalam sekatan jalan raya di Tanah Merah pada September 2019.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas, menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh dikenali sebagai Soe Soe, 53, mengaku bersalah pada akhir perbicaraan.

Mohamad Abazafree dalam alasan penghakiman berkata, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan, dan mahkamah wajar memberi pertimbangan terhadap pengakuan berkenaan.

Beliau berkata, apatah lagi tertuduh seolah-olah menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab, namun mahkamah perlu mengambil serius terhadap jenayah berat.

“Malah, dadah yang dibawa masuk oleh tertuduh juga dalam jumlah banyak, iaitu 277.9g dan ia berupaya memberi kesan besar kepada negara.

“Hukuman perlu mencerminkan kebencian masyarakat berkaitan dadah, dan tertuduh sepatutnya sedar dengan jenayah dilakukan itu. Oleh itu, tertuduh dipenjarakan selama 12 tahun dari tarikh yang ditangkap,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya methamphetamine seberat 277.9g dalam sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, kira-kira jam 1.30 pagi 8 September 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun hingga maksimum 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad, manakala tertuduh diwakili peguam, Cheang Chu Yong.

Terdahulu, Chu Yong memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman penjara minimum memandangkan ia adalah kesalahan pertama tertuduh, selain anak guamnya juga mengalami masalah kesihatan.

Norazlinawati bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

“Hukuman setimpal itu akan menjadi pengajaran kepada masyarakat,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini