comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita nyaris maut, kereta terjunam dalam parit

Foto: NSTP

KOTA KINABALU: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke parit besar dipenuhi air di Jalan Lintas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, mangsa wanita berusia 45 tahun yang memandu Perodua Axia sempat keluar dari kenderaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi kemalangan dan keterangan daripada pemandu, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Axia dalam perjalanan ke tempat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari arah Taman Inanam Laut.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika itu keadaan hujan lebat dan terdapat lopak air di atas jalan raya.

“Ketika melalui kawasan lopak air itu, kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum terjunam ke dalam parit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mangsa bagaimanapun sempat keluar dari kenderaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan itu juga tidak membabitkan mana-mana kenderaan lain.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN 166/59),” katanya.

Loading...
Terkini