Oleh: Safwan Sawi
RANAU: Kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres di Kilometer 12 Jalan Ranau–Telupid, sehingga menyebabkan pemandu wanita parah, dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu bas memotong di garisan berkembar.
Kemalangan itu berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Nalapak, pada 11.15 pagi semalam membabitkan kereta jenis Perodua dengan bas ekspres yang membawa 26 penumpang.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simium Lomudin berkata, siasatan awal mendapati bas ekspres dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Kota Kinabalu manakala Perodua Kancil dipandu dari arah Kampung Nabutan menuju ke Kampung Nalapak.
Pemandu bas ekspres seorang lelaki tempatan berusia 60-an dipercayai cuba memotong di kawasan garisan berkembar sebelum melanggar Perodua Kancil yang masuk ke Simpang Kampung Nalapak di sebelah kanan jalan.
“Akibat daripada perlanggaran itu, pemandu Perodua Kancil wanita berusia 30-an parah pada bahagian kepala dan rusuk. Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.
“Pemandu bas ekspres bersama 26 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jelas Simiun lagi, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Simium mengingatkan pengusaha dan pemandu bas ekspres supaya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas ketika berada di atas jalan raya.
“Pastikan memandu dalam keadaan berhati-hati dan perlahankan kenderaan terutama di kawasan sekolah, klinik dan juga kawasan perkampungan.
“Elakkan daripada memandu secara melulu dan bahaya serta tingkatkan keselamatan di jalan raya. Ingatlah orang tersayang, penumpang serta orang awam yang berada berdekatan dengan jalan raya,” katanya.