comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita rugi RM2.37 juta akibat pelaburan saham tidak wujud

PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat mengalami kerugian RM2.37 juta akibat penipuan pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata mangsa terpedaya menyertai pelaburan berkenaan selepas mengetahuinya melalui laman media sosial.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 39 tahun pada 17 November lalu.

Dalam laporannya, mangsa memaklumkan telah menekan pautan untuk menyertai pelaburan berkenaan dan diminta memberikan maklumat nombor telefon.

Sejurus kemudian, mangsa telah dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp yang memberikan perincian cara-cara membuat pelaburan.

Mangsa kemudian membuat 6 kali pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM2.378 juta ke dalam 6 akaun bank berlainan seperti diarahkan.

Tambah ACP Mohd Iqbal, mangsa dimaklumkan mendapat keuntungan sebanyak RM256,000.

Bagaimanapun untuk mengeluarkan wang keuntungan tersebut, mangsa dikehendaki membuat bayaran sebanyak RM523,000.

Mangsa menyedari telah ditipu dan membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Orang ramai dinasihatkan untuk tudak mudah mempercayai pelaburan-pelaburan yang ditawarkan di media sosial bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Loading...
Terkini