Tumpuan :
Nasional

Wanita warga emas maut diserang anjing liar bukan penduduk asal

Tangkap layar video tular mengenai kejadian wanita warga emas diserang lebih 10 anjing berhampiran terminal bas di Kunak Sabtu lalu. – Foto tular

KUNAK: Wanita warga emas yang maut akibat diserang sekumpulan anjing liar di kawasan terminal bas di sini, dipercayai bukan penduduk asal.

Mengesahkan perkara itu, Pegawai Daerah Kunak, Majaran Osman berkata wanita berkenaan dikatakan menaiki bas seorang diri dari Kota Kinabalu ke Kunak untuk mencari waris dan ahli keluarganya.

Bagaimanapun katanya, usaha untuk mengesan waris mangsa gagal dan menemui jalan buntu berikutan tiada sebarang dokumen atau maklumat yang lengkap selain identiti mangsa juga yang tidak diketahui.

“Sebelum kejadian, ada dikalangan penduduk dan pemimpin masyarakat setempat di sini cuba membantu beliau namun waris wanita warga emas itu gagal ditemui.

“Mangsa dikatakan sudah dua atau tiga hari berada di kawasan terminal bas di sini, sebelum kejadian dia diserang sekumpulan anjing liar pada awal pagi, Sabtu lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi menangkap dan memindahkan anjing liar di daerah itu dilakukan secara berkala sepanjang tahun oleh kakitangan pejabat daerah selain mendapat kerjasama pihak PDRM.

Jelasnya, dalam melaksanakan operasi itu, pihaknya turut mengambil kira beberapa aspek termasuk aduan dan ancaman haiwan-haiwan liar selain pematuhan mengikut garis panduan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

“Sepanjang tahun lepas sahaja, sebanyak 250 ekor haiwan termasuk anjing liar ditangkap dan di pindahkan ke kawasan habitat asal yang lebih selamat.

“Operasi ini masih berterusan dan beberapa tindakan segera telah diambil di peringkat PDRM seperti yang telah diputuskan pada mesyuarat bersama yang diadakan kelmarin,” katanya sambil mengesahkan kejadian serangan anjing liar terbabit adalah kejadian pertama sehingga menyebabkan kematian di daerah Kunak.

Semalam, media melaporkan seorang wanita warga emas maut selepas diserang sekumpulan anjing liar yang berkeliaran di Terminal Bas Kunak, Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 1.49 pagi itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di terminal bas berkenaan yang memaparkan mangsa berusia 60-an diserang kira-kira 11 ekor anjing.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat dalam kenyataannya berkata terdapat kesan luka dipercayai kesan gigitan anjing liar di bahagian tangan kiri, kepala, dada kanan, kedua-dua bahagian pinggang dan kedua-dua kaki mangsa.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini