Tumpuan :
Nasional

Wanita warga emas maut tersepit di bawah lori

 

Dua mangsa yang tersepit di bawah lori dalam kemalangan di Jalan Padang Serai-Tasek Gelugor. FOTO NSTP/IHSAN BOMBA

KULIM: Seorang wanita warga emas maut manakala seorang lelaki parah di kaki akibat tersepit di bawah lori selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Serai-Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 3.25 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Kulim Hi-Tech yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mat Puad Ghazali tiba di lokasi bersama 14 anggota.

Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Tasek Gelugor, Pulau Pinang, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebaik tiba di lokasi, Komander operasi melaporkan kemalangan itu membabitkan sebuah lori dengan sebuah motosikal.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa iaitu wanita warga emas anggaran usia 68 tahun manakala seorang lelaki berusia anggaran 64 tahun tersepit di bawah lori.

“Mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba menggunakan peralatan khas resque tools, beg udara serta bantuan kren,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, wanita warga emas itu disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim dengan menaiki ambulans KKM.

Katanya, operasi tamat pada jam 4.46 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini