comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita warga Thailand dilarikan kerana berhutang – Polis 

Rumah tumpangan di Jalan Jejawi Sena, Taman Utara Jejawi, Arau dipercayai menjadi lokasi mangsa wanita warga Thailand dilarikan dan dikurung sebelum diselamatkan oleh polis.

ARAU: Seorang wanita warga Thailand yang dipercayai dilarikan oleh tiga individu, termasuk seorang wanita, di Gunung Keriang, Kedah ditemui selepas polis menyerbu sebuah rumah tumpangan di Jejawi, di sini semalam.

Mangsa ditemui selepas menyerbu sebuah rumah tumpangan di Jejawi, di sini semalam, kurang lima jam selepas menerima laporan.

Kejadian bermula apabila mangsa yang berusia 36 tahun dan tinggal di Alor Setar dilarikan bersama teman lelakinya, berumur 18 tahun dan berasal dari Johor Bahru, Johor, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa oleh suspek yang berusia 30, 38 serta suspek utama yang berusia 39 tahun ke sebuah bilik rumah tumpangan di Jalan Jejawi Sena, Taman Utara Jejawi, di sini, sebelum ditahan di situ.

“Siasatan awal mendapati, punca kejadian disebabkan masalah hutang antara mangsa dan suspek utama berjumlah lebih RM2,000. Kesemua suspek dan mangsa saling kenal-mengenali antara satu sama lain.

“Suspek utama sebelum ini sudah beberapa kali menuntut hutang daripada mangsa namun ia tidak diendahkan.

“Tindakan mangsa menyebabkan suspek utama berkomplot bersama dua lagi suspek, untuk melarikan kedua-duanya bagi mendapatkan wang itu,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Mohsin, teman lelaki mangsa kemudiannya dilepaskan jam 1 petang, selepas didapati tiada urusan dengan suspek utama.

“Susulan itu, teman lelaki mangsa menghubungi polis jam 7.45 malam dan 35 minit kemudian, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis melancarkan Ops Scorpion untuk menyelamatkan mangsa.

“Kami naik ke tingkat tiga premis terbabit sebelum memecahkan pintu bilik. Kami dapati ada dua wanita membabitkan mangsa dan suspek di bilik itu,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut berjaya menahan suspek utama yang bersembunyi di loteng rumah tumpangan berkenaan.

Hasil soal siasat terhadap suspek utama membawa kepada penemuan 14 paket plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 37.03 gram.

“Selain itu, kami turut menemukan lima paket plastik heroin seberat 37.05 gram. Kesemuanya dibawa ke IPD Arau untuk siasatan lanjut.

“Kami turut menahan teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan kerana keterangannya meragukan,” katanya.

Kesemua suspek, kecuali suspek utama, diserahkan kepada IPD Kota Setar untuk siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

“Suspek utama direman enam hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini