JOHOR BAHRU: Tindakan sekumpulan warga asing di dalam sebuah bangunan hotel terbiar di sini, bukan beriadah seperti dakwaan yang tular di media sosial.
Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kehadiran mereka untuk melaksanakan kerja-kerja membuang air kolam renang di hotel terbiar itu yang menjadi tempat pembiakan nyamuk dan jentik-jentik.
Katanya, sepasukan Polis dari Unit Rondaan Sektor (URS) Balai Polis Central bersama cawangan (D9) Bahagian Siasatan Jenayah IPD JBS melakukan pemeriksaan di kawasan itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun adalah majikan serta 15 lelaki warga asing berumur lingkungan 22 hingga 43 tahun berada di bangunan itu adalah pekerja buruh binaan kepada sebuah syarikat tempatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua pekerja itu mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan diri yang sah serta tidak menyalahi undang-undang.
“Pekerja asing terbabit sedang menjalankan kerja pembuangan air kolam renang kerana terdapat banyak nyamuk dan jentik-jentik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, sebuah video tular menunjukkan beberapa individu dipercayai warga asing ‘beriadah’ di sebuah bangunan yang ditinggalkan.
Menerusi video yang dimuat naik oleh herrymersing78 di TikTok, kelihatan dua lelaki sedang mengeluarkan air di kolam yang terdapat di hotel itu manakala individu yang lain memerhati dari jauh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.