comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Warga asing dakwa anggota trafik tawar diskaun saman dicari polis

IPOH: Polis Perak sedang mengesan warga asing yang juga pempengaruh media sosial bagi membantu siasatan berhubung kes anggota trafik didakwa menawarkan diskaun saman ketika ditahan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri bagaimanapun berkata, difahamkan pasangan warga asing itu kini di luar negara.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti anggota trafik terlibat, sama ada anggota itu berkhidmat di kontinjen negeri ini atau kontinjen lain.

“Kami masih menjejaki mereka bagi membantu siasatan, selain mengenal pasti pelbagai aspek, iaitu lokasi, tarikh serta masa kejadian itu berlaku.

“Bukit Aman meminta saya menyerahkan kepada mereka untuk membuat siasatan dahulu di mana perkara itu berlaku,” katanya selepas merasmikan Program Healthy Eating Active Living anjuran Lions Club of Ipoh di perkarangan IPK Perak di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang kononnya menawarkan diskaun saman trafik kepada pasangan warga asing ketika ditahan di lokasi kejadian.

Kejadian itu tular selepas video memaparkan tindakan anggota polis terbabit dimuat naik menerusi YouTube pasangan berkenaan sebelum dikongsi beberapa pengguna media sosial.

Pasangan terbabit ditahan seorang individu dipercayai anggota polis kerana didakwa memandu melebihi had laju, namun anggota itu menawarkan diskaun saman daripada RM300 menjadi RM100, jika dibayar terus kepadanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini