Tumpuan :
Nasional

Warga Bangladesh disebat, dipenjara kerana tinggal haram 18 tahun di Terengganu

Ssebahagian PATI yang dihantar pulang ke negara asal selepas selesai menjalani proses undang-undang. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Kelicikan seorang lelaki warga Bangladesh yang tinggal di negara ini tanpa dokumen selama 18 tahun, berakhir apabila dia ditahan dalam satu serbuan bulan lalu dan selepas pertuduhan mahkamah dia dikenakan satu sebatan dan penjara lapan bulan.

Pengarah Imigresen negeri, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, lelaki berusia 37 tahun itu diberkas pegawai Imigresen negeri di Kampung Nisan Empat di sini pada 25 Oktober lalu.

Lelaki Bangladesh itu masuk dan tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen sah disyaki ketika berusia 19 tahun.

“Lelaki Bangladesh itu antara 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 11 warga Indonesia, Bangladesh (6), Myanmar (3) dan Pakistan (4) dijatuhi hukuman atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, lelaki Bangladesh yang dikenakan hukuman satu sebatan dan penjara lapan bulan itu sering berpindah randah bagi mengelakkan ditahan Imigresen.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusri berkata, seramai 13 PATI diberkas dalam Ops Sapu, Belanja dan Selera di sekitar Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Selasa lalu.

Operasi selama tujuh jam bermula kira-kira jam 12 tengah hari menggempur lapan premis yang menjadi tumpuan warga asing.

“Seramai 62 warga asing ditahan serta diperiksa dan 13 termasuk tujuh lelaki warga Bangladesh dan enam lelaki Myanmar berusia antara 19 dan 45 tahun diberkas.

Mohd Yusri berkata, semua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, individu yang didapati bersalah menggaji dan melindungi PATI boleh didakwa mengikut Seksyen 56 (1) (d), Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama.

“Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini