comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas 72 tahun rugi lebih RM670,000 ditipu scammer

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas kerugian RM670,994.00 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian (phone scam), 20 September lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa seorang pesara mendakwa dihubungi individu yang kononnya dari Unit Khidmat Pelanggan, Putrajaya, yang menyatakan nombornya telah disalahgunakan dalam kes jenayah siber.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, individu terbabit menyarankan mangsa untuk memohon perlindungan data peribadi serta perlindungan dana.

“Panggilan itu kemudian disambungkan pula kepada pihak yang berperanan sebagai ‘polis’ yang seterusnya memaklumkan bahawa mangsa turut terbabit dalam kes penggubahan wang haram.

“Bagi tujuan siasatan, mangsa diarah mengumpulkan semua wang simpanannya ke satu akaun bank milik mangsa sendiri dan maklumat perbankan bagi akaun tersebut kemudiannya diberikan kepada pihak ‘polis’.

“Mangsa juga diarahkan menyerahkan semua barang kemas dan ‘gold bar’ miliknya kepada individu yang datang mengambil barangan tersebut di rumah mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan mangsa mengalami kerugian wang tunai, barang kemas, dinar emas dan gold bar bernilai RM670,994.00.

“Kes ini masih disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Untuk rekod sepanjang tiga tahun dari tahun 2021 hingg 2023) seramai 86,266 individu telah menjadi mangsa kepada jenayah penipuan dalam talian dan daripada jumlah itu 5,533 mangsa adalah dalam kalangan berusia 61 tahun dan ke atas atau warga emas,” katanya.

Ramli berkata, masyarakat perlu memainkan peranan selaku penyebar mesej kesedaran jenayah komersil agar dapat membentuk satu komuniti yang selamat dan terhindar dari menjadi mangsa scammer.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini