comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas bermotosikal maut dirempuh kereta ketika tukar laluan secara mengejut

Keadaan kereta dan motosikal susulan kemalangan yang meragut nyawa seorang warga emas di Jalan Persiaran Raya, Gua Musang, pagi tadi.

GUA MUSANG: Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta dekat Jalan Persiaran Raya di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, mangsa, Hassan Ali, 73, maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah pada bahagian badan, tangan dan patah kaki.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata siasatan awal mendapati kejadian membabitkan sebuah motosikal Honda dan kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu wanita berusia 29 tahun.

“Hasil siasatan dipercayai mangsa dari Bandar Lama menuju ke Bandar Baru. Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa yang berada di laluan kiri, secara tiba-tiba mengubah haluan ke kanan jalan menyebabkan pemandu kereta dari arah belakang merempuh sisi kanan motosikal ditunggang mangsa.

“Mangsa yang terjatuh disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian diminta menyalurkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Gua Musang menerusi talian 09 – 912 1222 atau Pegawai Penyiasat 013-301 0408,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini