KOTA MARUDU: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang di sungai Kampung Tambun, di sini, sejak seminggu lalu.
Mangsa berusia 69 tahun itu dikatakan keluar dari rumah pada Ahad lalu dan disedari tidak balik selepas tiga hari.
Keluarga mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Marudu dan pihak polis membuat pencarian awal di sekitar kawasan kampung berkenaan.
Sebelum itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima maklumat awam menyatakan terlihat seorang lelaki melalui jambatan yang dalam proses pembinaan kira-kira jam 4 petang, pada Isnin lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.30 pagi tadi.
Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama empat jentera termasuk dua bot fiber digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Sebaik tiba, pasukan bomba mengambil maklumat kejadian dan menjalankan operasi SAR di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Operasi dijalankan dari Sungai Tambun menyelusuri Sungai Bandau dengan kaedah SAR di permukaan air menggunakan bot penyelamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, sehingga kini mangsa masih belum ditemukan.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.