comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas ditahan ketika ‘lalok’

FOTO: AADK

KAJANG: Warga emas berusia 65 tahun yang sedang ‘lalok’ antara 70 individu ditahan dalam operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ke atas empat ‘port’ dadah di sekitar Selangor di sini, semalam.

AADK berkata, individu yang ditahan kesemuanya lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun yang kebanyakannya bekerja sebagai pemandu lori, pekerja kilang dan penganggur.

“Operasi dijalankan di beberapa port dadah yang sudah dikenal pasti susulan risikan selama tiga minggu oleh anggota AADK Hulu Langat.

“Serbuan dijalankan di sekitar kawasan Kajang, Balakong dan Semenyih,” katanya kepada Harian Metro.

AADK berkata, lokasi terbabit sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan sudah kerap diserbu pihaknya namun ia dikesan kembali aktif sejak kebelakangan ini.

Katanya, serbuan dijalankan susulan risikan pihaknya selama hampir sebulan berikutan maklumat daripada beberapa tangkapan awal sebelum ini.

“Kebanyakan mereka yang ditahan ini menggunakan dadah jenis methamphetamine atau lebih dikenali sebagai syabu dan heroin.

“Dadah ini dipercayai dijual pada harga antara RM50 hingga RM150,” katanya.

Menurut AADK pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis bagaimanapun pengedar atau ‘pusher’ berjaya melarikan diri ketika serbuan dijalankan.

Katanya, operasi bermula seawal tiga pagi itu dijalankan AADK Hulu Langat dengan bantuan anggota dan pegawai daripada AADK Gombak, AADK Kuala Langat serta AADK Sepang berakhir 8 malam semalam.

Serbuan turut mendapat dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Seramai 29 individu direman 11 hari di Pusat Tahanan Reman (PTR) Tampin, Seremban di Negeri Sembilan manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini