HULU TERENGGANU: Seorang peneroka warga emas ditemukan lemas berhampiran pukat ikan dalam sungai di belakang kilang sawit Jerangau Barat, Ajil, Hulu Terengganu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi tadi mayat Chik Mamat, 76 tahun, dijumpai penduduk yang secara kebetulan ke kawasan tersebut untuk menahan pukat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Supritendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata pihaknya menerima maklumat dari orang awam yang memberitahu menjumpai mayat berdekatan dengan pukat ikan kira-kira 9.40 pagi.
Mangsa telah dikeluarkan orang ramai pada kedalaman air lebih kurang satu meter.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu anak sulong Allahyarham Zamani Chik 55 tahun berkata ayahnya keluar kira- kira tujuh pagi tadi sebelum dimaklumkan penduduk kampung mengenai penemuan berkenaan.
“Ayah memang suka tahan pukat musim hujan, adik saya cakap ayah ke lokasi jam 7 pagi semalam, dan hari ini dia pergi ke lokasi angkat pukat,” katanya
Jenazah Allahyarham akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerangau Barat selepas Solat Isyak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.