
SIK: Mayat seorang warga emas ditemukan di kawasan kebun getah FELDA Teloi Timur, di sini hari ini.
Mayat kemudian dibawa turun dengan bantuan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik serta pasukan polis.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, berdasarkan siasatan, mangsa dipercayai keluar menoreh getah pada jam 7 pagi tadi.
Beliau berkata, namun anak lelaki mangsa yang berusia 25 tahun mengesyaki sesuatu berlaku apabila bapanya tidak pulang ke rumah pada jam 11.45 pagi.
“Anak mangsa yang tidak sedap hati terus ke kebun getah berkenaan dan menemui bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Dia kemudian menghubungi hospital sebelum pasukan perubatan dari Hospital Sik (HS) tiba di lokasi dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.
Abdull Razak berkata, berdasarkan maklumat daripada anak mangsa, bapanya mempunyai sejarah penyakit jantung dan sering mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
Beliau berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat ditemui di situ.
“Mayat warga emas terbabit kemudian dibawa ke Unit Forensik HS untuk tindakan lanjut,” katanya.