comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas hilang ketika cari daun palas ditemukan meninggal dunia 

KANGAR: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari daun palas Isnin lalu, ditemukan meninggal dunia di kawasan kebun getah di Kampung Guar Sanai, Beseri, Padang Besar, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata mangsa Ubaidillah Mohamad, 73, ditemukan pada 4.12 petang.

“Pada Selasa, polis menerima satu laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 68 tahun menyatakan suaminya tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi.

“Mangsa dikatakan keluar rumah seorang diri menaiki motosikal pada Isnin, 3 petang untuk mencari daun palas di kawasan kebun getah di Kampung Guar Sanai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan awal dijalankan anggota polis bersama masyarakat setempat dan menjumpai motosikal mangsa di kawasan kebun getah itu pada 6.30 petang hari sama.

Katanya, gerakan mencari diteruskan membabitkan kawasan hutan simpan Guar Sanai seluas 0.80 hektar sebelum menemukan mayat mangsa pada jarak lebih kurang 1.3 kilometer dari motosikalnya.

“Hasil siasatan pihak forensik mengesahkan tiada unsur jenayah.

“Mayatnya kemudian di bawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat,” katanya yang turut menyatakan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini