
LUMUT: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu ditemui lemas di persisiran Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor, semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, mayat mangsa berusia 83 tahun itu ditemui lengkap berpakaian oleh orang awam jam 11.24 pagi.
Menurutnya, laporan polis berhubung kehilangan mangsa dibuat oleh ahli keluarga di Johor Bharu, memaklumkan mangsa keluar dari rumah sendirian.
“Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian menemui seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan oleh pegawai Klinik Kesihatan Pangkor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Seri Manjung mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Balai Polis Pangkor di talian 056851222 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 dan WhatsApp 014-6828005.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.