![](https://media.buletintv3.my/2025/01/BULETIN-TV3-AD-20.jpg)
BELAGA: Seorang lelaki warga emas yang terjatuh dari perahu ketika keluar mencari durian pada Isnin lalu di temui lemas sekitar jam 9.10 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat mangsa Micheal Sait Lanyau, 60, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan penduduk kampung kira-kira satu kilometer (km) dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) ke arah hilir sungai.
“Pada jam 9.10 pagi mangsa berjaya dijumpai oleh Pasukan SAR dan penduduk kampung. Jarak 1 km di hilir sungai dari PKB.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa seterusnya dibawa ke jeti Pekan Belaga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam kejadian sekitar jam 7.30 pagi Isnin lalu, mangsa yang sedang mencari durian dilaporkan terjatuh dari bot yang dinaikinya di Sungai Benatu Punan Bah di sini.
Beberapa orang penduduk kampung yang berada tidak jauh dari tempat kejadian, turut cuba memberikan bantuan kepada mangsa, namun gagal apabila mangsa dihanyutkan arus deras.