comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut dalam kebakaran bilik 

Lelaki warga emas maut dipercayai akibat terhidu asap dalam kebakaran di rumahnya dekat Kampung Ujung Pasir, Sikamat, di sini, pagi tadi. Foto NSTP/Ihsan MAINS.

SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas maut dipercayai akibat terhidu asap dalam kebakaran dalam bilik di rumahnya dekat Kampung Ujung Pasir, Sikamat, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, lelaki berusia 78 tahun itu juga ditemui dalam keadaan melecur dan kesan terbakar pada tilam dipercayai berpunca daripada puntung rokok.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 11.40 pagi sebelum pihak polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat ke tempat lokasi dan mendapati api sudah dipadamkan.

“Pemeriksaan awal polis menemukan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di sebelah katil di bilik tidurnya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat kebakaran pada tilam dan kesan lecur pada badan mangsa berpunca daripada putung rokok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Hatta berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperoleh daripada pihak hospital.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Mohamad Idris berkata, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.36 pagi.

“Seorang mangsa berusia 78 tahun ditemui di lokasi dan berdasarkan siasatan, kebakaran melibatkan tilam di dalam bilik sebuah rumah jenis kekal (kelas A) berkeluasan keseluruhan anggaran 18×20 kaki persegi.

“Kes ini diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini