KUANTAN: Seorang lelaki warga emas maut, manakala cucunya cedera dihempap pokok tumbang ketika berkhemah di kawasan perkhemahan Pantai Balok, dekat Beserah di sini petang tadi.
Kejadian berlaku ketika hujan lebat disusuli ribut dengan mangsa, Che Zakariah Che Ali, 68, dari FELDA Cerul 2 di Kemaman, Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata cucu mangsa, Nurul Amni Aisyah Mohamad Afiq yang berusia tujuh tahun cedera pada kepala.
Kanak-kanak itu, katanya kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan keadaannya stabil.
“Mangsa bersama 13 ahli keluarga menyertai aktiviti perkhemahan selama tiga hari dua malam di kawasan perkhemahan itu bermula semalam.
“Kira-kira jam 3.10 petang tadi, hujan dan angin kencang melanda kawasan perkhemahan dan mangsa ketika itu sedang duduk di atas kerusi di depan khemahnya.
“Tiba-tiba menantunya yang berada dalam khemah bersama isteri dan dua anaknya terdengar bunyi pokok tumbang dan semasa menyelamatkan diri mangsa dilihat sudah dihempap pokok dan mereka cuba mengalihkannya,” katanya melalui kenyataan malam ini.
Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Sultan Haji Ahmad Shah @ IIUM Kuantan untuk dibedah siasat. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.