comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut dipijak gajah 

Foto hiasan

GERIK: Seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai akibat dipijak gajah dalam kejadian di kebun getah Kampung Lerlar, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pos Kemar, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata dalam kejadian sekitar 3.15 petang semalam, mangsa iaitu warga emas berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditemukan terbaring serta dalam keadaan berlumuran darah.

Katanya, siasatan mendapati mangsa pergi ke kawasan kebun getah terbabit untuk mencari kayu, sebelum suara teriakan mangsa yang disusuli bunyi tempikan gajah didengari anak perempuannya yang berusia 44 tahun.

“Selepas keadaan itu reda, anak perempuan mangsa yang juga saksi kejadian bergegas ke tempat kejadian bersama abang iparnya sebelum mendapati mangsa (bapanya) dalam keadaan terbaring berlumuran darah.

“Saksi juga ada terlihat kelibat seekor gajah di kawasan itu. Semasa berada di kebun getah terbabit, mangsa dipercayai terserempak dan dipijak oleh seekor gajah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, kes diklasifikasi mati mengejut (SDR).

Beliau menasihatkan masyarakat sekitar Pos RPS Pos Kemar agar lebih berhati-hati sekiranya menjalankan aktiviti pertanian dan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat maklumat kehadiran hidupan liar agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini