Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut diserang lebih 10 anjing liar

Tangkap layar video tular mengenai kejadian wanita warga emas diserang lebih 10 anjing berhampiran terminal bas di Kunak Sabtu lalu. – Foto tular

KUNAK: Seorang wanita warga emas maut selepas cedera diserang sekumpulan anjing liar berhampiran terminal bas di sini, Sabtu lalu.

Mangsa yang berusia lingkungan itu 60-an dikatakan diserang lebih 10 ekor anjing.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan mangsa dikelilingi sekawan anjing terbabit sebelum haiwan itu menyerangnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 6.30 pagi melaporkan mengenai penemuan mayat seorang wanita di kawasan terminal bas.

“Siasatan mendapati mayat wanita yang tidak berpakaian itu terbaring di atas tanah.

“Terdapat kesan gigitan pada tubuhnya,” katanya, sambil menambah mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Sabarudin berkata mangsa diserang jam 1.49 pagi.

Mayat dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini