Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut jatuh dari pokok petai

Foto hiasan

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga emas maut dipercayai terjatuh dari pokok petai di kebun Kampung Perlis, di sini hari ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Yaakop, 60, meninggal dunia selepas mengalami pelbagai kecederaan di bahagian kepala, pergelangan tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, adik lelaki warga emas itu yang berusia 51 tahun didatangi penduduk kampung pada jam 8.30 pagi yang memaklumkan abangnya jatuh dari pokok petai di kebunnya.

Beliau berkata, pengadu kemudian menghubungi ambulans Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

“Pegawai perubatan memaklumkan abangnya sudah meninggal dunia.

“Semakan rekod kesihatan juga mendapati si mati tidak mempunyai sebarang rekod rawatan HSAH. Pengadu memaklumkan yang si mati bekerja mengambil upah mengait buah petai.

“Pemeriksaan ke atas mayat warga emas itu di tempat kejadian mendapati dia mengalami pelbagai kecederaan di bahagian kepala, pergelangan tangan dan kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, mangsa dipercayai menetap di Kampung Perlis Simpor, Tikam Batu dan bekerja sebagai petani.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini