SETIU: Seorang penumpang warga emas maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 45 Sungai Tong Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, dalam kejadian 4.32 pagi itu, mangsa, Saodah Man, 70, yang beralamat di Sungai Lalang, Kedah, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Perodua Bezza dinaiki mangsa dari Kedah menghala ke Kemasik, Kemaman hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Ia menyebabkan kenderaan itu bertembung dengan kereta Honda Civic yang datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kampung Payong, Sungai Tong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pemandu Perodua Bezza berusia 20 tahun yang juga cucu mangsa serta seorang lagi penumpang berusia 13 tahun dirawat di Hospital Setiu.
“Penumpang hadapan kereta Honda Civic cedera peha kanan manakala pemandu serta penumpang belakang belum dikenal pasti tahap kecederaan turut menerima rawatan di hospital sama.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.