Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut ketika mengambil tayar ganti di but kereta

Seorang lelaki warga emas yang sedang mengambil tayar ganti di but kereta maut dilanggar sebuah kenderaan pikap dalam kejadian di Kilometer 5.5 LKSA, tengah hari tadi. FOTO: Ihsan IPD Shah Alam

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga emas yang sedang mengambil tayar ganti di but kereta maut dilanggar sebuah kenderaan pikap dalam kejadian di Kilometer 5.5 Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, siasatan mendapati kemalangan berlaku selepas sebuah bas henti-henti gagal mengelak kenderaan pikap yang berhenti di belakang kereta Toyota Camry di lorong kiri lebuh raya.

“Bas berkenaan melanggar bahagian belakang kenderaan pikap itu yang kemudian bergerak ke depan dan melanggar mangsa yang sedang mengambil tayar ganti di but kereta.

“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang berusia 65 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini