comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut selepas 10 jam tersepit dalam lori simen

FOTO: Ihsan JBPM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

LAHAD DATU: Warga emas yang tersepit selepas lori tangki simen yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di Batu 18, Jalan Sandakan–Lahad Datu, awal pagi tadi, disahkan meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan.

Mangsa Abd Halim Bolong, 72, hanya dapat dikeluarkan pada kira-kira jam 12 tengah hari tadi, selepas kira-kira 10 jam kemalangan berlaku berikutan kesukaran menarik lori tangki simen terbabit keluar dari gaung sedalam 10 meter.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.42 pagi.

FOTO: Ihsan JBPM Sabah

Seramai 10 anggota dan pegawai bersama empat jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan simen terbabas sendiri dan jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter.

“Pemandu lori terbabit tersepit dan tertimbus di dalam tanah, sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba kira-kira jam 12 tengah hari,” kata kenyataan itu, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, mangsa parah akibat tertimbus dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital dan kes diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini