KULAI: Wanita warga emas dan menantunya maut selepas motosikal dinaiki mereka bergesel dengan sebuah kereta di Jalan Kulai-Kota Tinggi dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, kejadian kira-kira jam 7.20 petang itu membabitkan motosikal Honda Wave ditunggang wanita 67 tahun itu dengan Perodua Bezza.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Bezza dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dari arah Kota Tinggi ke Kulai tidak sempat mengelak motosikal mangsa.
“Motosikal yang datang dari arah sama kemudian bergesel antara satu sama lain dengan kereta terbabit,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, warga emas dan menantu perempuannya yang berusia 50 tahun parah di pelbagai anggota badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini, untuk bedah siasat.
Sementara itu, katanya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya.
Pada masa sama, Tan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-3063710 atau hadir ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.