comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas meninggal dunia kena serangan jantung selepas mengundi semalam

Foto hiasan

JITRA: Seorang lelaki warga emas sempat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam, sebelum meninggal dunia akibat serangan jantung.

Lelaki berusia 61 tahun itu mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Agama Nadhah Hasanah, Padang Sera, Kodiang bersama isterinya yang berusia 57 tahun pada jam 2 petang.

Bagaimanapun, isteri mangsa dimaklumkan suaminya rebah di luar pagar sekolah berkenaan selepas selesai mengundi pada jam 2.50 petang.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jitra dengan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi berkata, tiada laporan polis diterima berhubung kejadian itu dan mengesahkan lelaki warga emas itu meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beliau berkata, mangsa turut mempunyai rekod sakit jantung sebelum ini.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba di hospital,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini