Tumpuan :
Nasional

Warga emas Orang Asli maut dipijak gajah ketika kutip durian

Seorang wanita warga emas daripada masyarakat Orang Asli maut dipercayai akibat dipijak gajah liar di Kampung Bal, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, di Gerik, semalam. – FOTO: NSTP

GERIK: Seorang wanita warga emas daripada masyarakat Orang Asli maut dipercayai akibat dipijak gajah liar di Kampung Bal, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, di Gerik, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata mangsa, 63, dipercayai dipijak sekor gajah di kawasan kebun durian perkampungan itu yang terletak berhampiran dengan rumahnya kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Katanya, sejurus kejadian mangsa dibawa ke klinik kesihatan RPS Kemar namun disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa yang dijalankan di Hospital Gerik, mendapati sebab kematian mangsa adalah ‘blunt force trauma to the chest’ (hentakan trauma tumpul di bahagian dada) dan mayatnya sudah diserahkan kembali kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

Zulkifli berkata, hasil siasatan mendapati mangsa pergi ke kebun durian berkenaan antara jam 4 hingga 5 petang semalam bagi mengutip durian.

“Semasa berada di kebun itu, mangsa dipercayai terserempak lalu dipijak oleh seekor gajah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi tengah hari tadi turut mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Yusoff berkata, pihaknya juga sedang menjalankan proses siasatan berhubung kes itu.

Terdahulu, paparan visual dan gambar berhubung kejadian itu ditularkan di Facebook dengan mendakwa mangsa, seorang wanita yang sudah berumur mati akibat dipijak gajah liar.

Loading...
Terkini