SEMPORNA: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan di sungai Ladang Pinang, dekat sini sejak jam 6 pagi semalam ditemukan lemas, hari ini.
Mayat mangsa berusia 60 tahun ditemui penduduk kampung, kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian orang hilang di sungai kira-kira jam 11.27 pagi tadi.
“Mangsa dilaporkan keluar menangkap ikan di sungai berkenaan pada jam 6 pagi semalam menggunakan bot namunbelum pulang ke rumah.
“Orang kampung kemudiannya bertindak membuat pencarian awal sebelum menemui bot mangsa tanpa pengemudi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun katanya, kira-kira jam 1.30 tengah hari, mayat mangsa berjaya ditemui pada jarak satu kilometer dari lokasi bot mangsa dan disahkan meninggal dunia oleh pihak polis.
“Pasukan bomba bertindak mengambil mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.