Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Warga Indonesia ditahan ketika cuba bolos dari serbuan Imigresen

Lelaki warga Indonesia (kiri) ditahan selepas bergelut dengan pegawai penguat kuasa JIM negeri. FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Cubaan seorang warga Indonesia meloloskan diri daripada ditahan Jabatan Imigresen gagal apabila diberkas selepas bergelut dengan pegawai penguat kuasa jabatan itu dalam satu operasi di sini, semalam.

Lelaki Indonesia berusia dalam lingkungan 20-an itu cuba melarikan diri selepas mendapati rumah kongsi didiami digempur dalam operasi Sapu dan Selera diketuai Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri, Mohd Yusri Mohd Nor.

Operasi itu bermula jam 8 malam semalam hingga jam 6 pagi, tadi.

Siasatan awal mendapati lelaki warga Indonesia itu tinggal melebihi masa.

Mohd Yusri berkata, lelaki itu bertindak agresif dan berlaku pergelutan sebelum berjaya diberkas.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan berlaku termasuk keatas pegawai penguat kuasa dan warga Indonesia ketika pergelutan berlaku.

Katanya, lelaki Indonesia itu ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (c), Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Operasi itu turut diadakan di rumah kongsi di tapak pembinaan kawasan industri di Kertih, Kemaman.

Mohd Yusri berkata, seramai 124 warga asing berusia antara 21 tahun dan 50 tahun yang ditahan melalui proses saringan.

Selepas saringan dilakukan, katanya, seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 11 warga Bangladesh dan seorang daripada Indonesia ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal melebihi masa dibenarkan.

“Semua PATI yang ditahan dihantar ke depot tahanan Imigresen Ajil, untuk disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c), Akta Imigresen 1959/63.

“Imigresen negeri akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini