Tumpuan :
Nasional

Warga Indonesia sempat muat naik TikTok beri amaran rakan elak dicekup

Seramai 51 Pati ditahan dalam serbuan Ops Pintu di sebuah kawasan rumah pangsa di Segambut, Kuala Lumpur tengah malam tadi. -FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: ‘Temen-temen (teman-teman) yang kosong, harap pulang segera, Malaysia sedang tidak baik-baik saja’.

Itu hantaran terakhir di media sosial TikTok milik seorang lelaki warga Indonesia sebelum dia ditahan dalam serbuan Ops Pintu di sebuah kawasan rumah pangsa di Segambut, di sini awal pagi hari ini.

Warga asing itu dikesan membuat rakaman semasa pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang membawa naik kesemua tahanan ke atas lori selepas pemeriksaan selesai.

Perbuatan lelaki itu disedari pegawai operasi dan pemeriksaan mendapati individu warga Indonesia itu memuat naik hantaran berkenaan yang memberi amaran kepada rakan senegaranya yang ‘kosong’.

Lelaki itu antara 158 individu diperiksa menerusi operasi di 38 unit kediaman di kawasan rumah pangsa itu yang bermula kira-kira 12.15 sehingga 3 pagi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 51 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam operasi itu.

“Pecahan tangkapan berusia tiga hingga 45 tahun membabitkan 40 warga Bangladesh, Indonesia (6), Nepal (4) dan seorang Pakistan.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada pas atau permit sah dan tinggal lebih masa,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini hari ini.

Sementara itu wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi mendapati pelbagai alasan digunakan Pati berkenaan bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

Antaranya seorang lelaki warga Bangladesh yang ditemui merayu-rayu supaya pihak berkuasa melepaskan isterinya selepas wanita itu ditahan kerana tidak memiliki pas perjalanan yang sah.

“Tolong lah abang, bulan depan mahu balik kampung, sekarang tunggu cuti bos tak bagi, bos bagi cuti bulan hadapan saja, tiket kapal terbang sudah beli.

“Dia datang sini guna pas pasangan tetapi sudah tamat tempoh sebulan lepas dan tak boleh perbaharui jadi kami mahu pulang bersama nanti,” rayu buruh binaan berusia 30-an.

Mengulas lanjut Wan Mohammed Saupee berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

Katanya, pemantauan berterusan akan dijalankan di seluruh ibu negara walaupun selepas sesebuah lokasi itu diserbu bagi memastikan tiada lambakan Pati.

“Saya menasihatkan mana-mana individu warga asing yang tiada dokumen atau tinggal lebih masa segera tampil ke pejabat JIM untuk sertai program Repatriasi Migran.

“Kerana JIM seluruh negara akan membuat operasi besar-besaran bagi memastikan negara kita bebas daripada kebanjiran Pati,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini