comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga sekolah diberi kebenaran khas pakai baju sukan, tali leher tidak wajib

PUTRAJAYA: Kebenaran khas kepada murid, guru dan kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan di semua institusinya ketika cuaca panas melanda negara telah dipersetujui Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan kebenaran itu bagi mengelak sebarang komplikasi kesihatan yang mungkin dialami murid dan warga sekolah dalam menghadapi gelombang haba.

Menurutnya, pemakaian tali leher juga tidak diwajibkan dan pihak sekolah diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, supaya tindakan segera dapat diambil.

“KPM sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua pihak semasa menghadapi cuaca panas dan kering berpanjangan yang sedang melanda negara,” menurut kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan, KPM mengeluarkan arahan kepada semua institusi di bawahnya agar menghentikan aktiviti luar bilik darjah sekiranya kawasan masing-masing mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

Susulan itu juga, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta institusi berkaitan diarah melaksanakan langkah pencegahan, selain memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas.

Pihak itu juga perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri bagi memastikan kesihatan tidak terjejas.

Loading...
Terkini