comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga Singapura dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai

Oleh: Zahir Senapiah

KOTA TINGGI: Seorang lelaki warga Singapura dikhuatiri lemas manakala seorang lagi remaja juga dari Singapura berjaya diselamatkan orang ramai selepas dihanyutkan arus ketika mandi di pantai Westin Desaru Coast, tengahari tadi.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dilancarkan bagi mencari mangsa.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan jam 12.55 tengahari.

Susulan itu, 17 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba Sungai Rengit, Bandar Penawar dan Mersing dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Isaac Kelvin Tan Lee Thong, 49 tahun.

Manakala remaja yang terselamat dikenali sebagai Gabriel Ian Tan Way Ping, 16 tahun dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan.

“Kaedah mencari mangsa menggunakan teknik ‘surface searching’ kerana ombak kuat” katanya.

Ujarnya, menurut beberapa saksi di tempat kejadian, mangsa dihanyutkan arus deras ketika mandi manda di pantai.

Difahamkan ketika kejadian bendera merah telah dikibarkan sebagai amaran kepada orang ramai tidak mandi di pantai kerana cuaca tidak menentu susulan monsun timur laut.

Loading...
Terkini