comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga Sweden ditemui maut dalam kapal layar

Pasukan keselamatan mengangkat mayat warga Sweden yang ditemui maut dalam kapal layarnya di Labuan. Foto ihsan PDRM Labuan.

LABUAN: Seorang pelayar warga Sweden ditemui maut di kapal layar miliknya berhampiran perairan Kampung Patau-Patau, di sini, malam tadi.

Mayat Dick Thomas @ Svahn, 55, ditemukan oleh orang awam yang melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa jam 7.16 malam.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim dalam satu kenyataan berkata polis bersama pasukan bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa dari ruang kapal berkenaan.

Menurut Mohd Hamizi, ketika kejadian kapal layar mangsa dalam keadaan berlabuh.

Punca kematian dan tempoh mangsa meninggal dunia masih disiasat.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk bedah siasat.

Pihak polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan dalam satu kenyataan berkata kejadian itu dimaklumkan oleh pihak polis jam 10.19 malam.

Seramai 11 anggota bomba, 16 anggota polis dan enam anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Zon Maritim Labuan membantu memindahkan mayat mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini