
SEPANG:Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan disaran mengambil peluang untuk menjadi Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) bagi menarik minat lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia terutama dari Asia Tengah.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata ramai dalam kalangan warga Uzbekistan yang berminat untuk mengikuti pengajian menggunakan laluan APEL.
Katanya, IPT seharusnya memanfaatkan elemen persamaan antara Malaysia dan Uzbekistan misalnya faktor agama, makanan halal dan beberapa budaya untuk dijadika tarikan kepada pelajar di negara itu untuk mereka menyambung pengajian ke Malaysia.
“IPT digalakkan menjadi Pusat Penilaian APEL terutama dalam menawarkan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q).
“APEL.Q menjadikan sistem pendidikan tinggi kita lebih fleksibel dan setanding negara maju yang rata-ratanya telah mengiktiraf pembelajaran terdahulu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Pendidikan Malaysia-Uzbekistan di Tashkent, Uzbekistan dalam rangka kerja ke negara Asia Tengah itu.
Hadir sama, Penasihat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof. Emeritus Dr. Morshidi Sirat selaku ketua delegasi sambil disertai Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin dan Pengarah Kanan (Pembangunan Dasar dan Kepakaran) MQA Mohammad Dzafir Mustafa.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, dengan populasi seramai 35 juta penduduk dan 75 peratus daripadanya adalah warga belia bawah 30 tahun, Uzbekistan mampu menjadi ‘lubuk’ pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di Malaysia.
Katanya, kerajaan Uzbekistan memberi fokus terhadap bidang pendidikan dan hal itu memberi peluang kepada IPT di Malaysia untuk menarik minat pelajar antarabangsa dari Uzbekistan untuk menyambung pengajian di Malaysia dengan menawarkan pengajian menerusi laluan APEL.
“Kami komited untuk meneroka strategi pengantarabangsaan bagi meningkatkan jenama pendidikan tinggi negara bagi merealisasikan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat.
“Selain kualiti pendidikan yang setaraf negara maju, kos sara hidup dan infrastruktur di kampus yang baik, tahap keselamatan juga menjadi faktor utama yang menjadi daya penarik pelajar antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pengajian terutama di peringkat pascasiswazah,” katanya.