
PORT DICKSON: Pantai Port Dickson yang sebelum ini panas dengan isu ‘Khemah Biru’ kini beralih pula kepada larangan pemasangan khemah awam yang ditetapkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di 11 pantai di daerah ini.
Pihak MPPD kini semakin aktif memantau 11 kawasan pantai dan peraturan melarang pemasangan khemah sesuka hati.
Peraturan itu disifatkan warganet sebagai mengarut dan mereka menyarankan agar kawasan peranginan ini diboikot.
Ia selepas tular video dan gambar hebahan bergerak MPPD dalam media sosial mengenai larangan pemasangan khemah di sekitar pantai awam Port Dickson.
Dalam hebahan itu, dinyatakan pemasangan khemah dalam apa jua bentuk adalah dilarang di sepanjang pantai awam Port Dickson dan pemilik diminta segera membuka khemah masing-masing atau berdepan tindakan penguatkuasaan.
Perkongsian MPPD di media sosial mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan peraturan berkenaan dengan pelbagai kecaman.
“Boikot jangan bercuti ke PD. Banyak lagi tempat yang bagus dan cantik.
“Dulu pantai PD bebas dan boleh saja pasang khemah, semua nak susahkan rakyat,” luah warganet.
Seorang warganet turut berkongsi pengalaman diminta membuka khemah yang dipasang tidak sampai satu jam berada di situ.
“Khemah itu untuk solat dan tidur anak-anak kecil, juga sebagai tempat untuk salin pakaian, sememangnya kami kecewa, malas nak berkelah di PD lagi,” katanya.
Bagaimanapun, ada yang berpendapat peraturan itu ditetapkan bagi mengekalkan kebersihan kawasan pantai.
Ada juga menyarankan agar MPPD menyediakan kawasan khusus untuk pengunjung berkhemah, lengkap dengan kemudahannya sekali.
Peraturan seumpama itu bukanlah baru malah MPPD turut memasang notis di kawasan pantai selain turut dihebahkan di Facebook rasminya.
Turut dinyatakan sebarang pelanggaran akan diambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Taman (MPPD) 2008 yang boleh dikompaun sehingga RM1,000.
Larangan meliputi apa-apa jenis khemah yang menyerupai khemah dan sepertinya sama ada bermalam atau sekadar berkelah atau riadah di siang hari.
Selain itu, Jabatan Penguatkuasaan MPPD juga akan memastikan pematuhan undang-undang melalui aktiviti penguatkuasaan yang merangkumi pemantauan terhadap pelanggaran peraturan seperti aktiviti perkhemahan tanpa kebenaran, minum minuman keras di tempat awam, pembakaran unggun api, dan lain-lain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.