BENTONG: Keluarga mangsa nahas Elmina, Idris Abdol Talib @ Ramali, berharap kerajaan akan bertemu dengan waris bagi menjelaskan Laporan Awal nahas itu terutamanya membabitkan Perakam Suara Kokpit (CVR).
Adik lelaki Idris, Nurul Qomar, 38, berkata ini kerana mereka perlu menunggu lama sebelum butiran rakaman CVR dikeluarkan dalam Laporan Akhir dijangka Ogos depan.
Artikel berkaitan: Laporan Awal nahas Elmina: Punca kemalangan dalam laporan akhir dijangka Ogos depan

Jelas beliau, laporan yang diterbitkan Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini, kebanyakannya mengandungi maklumat teknikal berkaitan siasatan.
“Laporan awal dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp keluarga dan kami semua mengharapkan sedikit maklumat mengenai rakaman suara itu, namun tiada apa-apa walaupun transkripsi sudah disiapkan. Laporan hari ini memfokuskan kepada perkara teknikal mengenai nahas itu.
Artikel berkaitan: Laporan Awal nahas Elmina: Tiada bulu burung, objek asing ditemui pada kedua-dua belah enjin pesawat
“Kami menghargai usaha kerajaan untuk berkongsi laporan itu kepada orang ramai dan tidak memberi tekanan kepada mereka (kerajaan) atau MOT, namun sebagai waris yang terjejas oleh insiden itu, kami sedang mencari jawapan mengenai apa yang berlaku sebelum nahas.
“Ini adalah kes berprofil tinggi dan tempoh penantian yang agak lama untuk keluarga…kerajaan harus memberi penjelasan dan harapnya ia akan dapat dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu, berkata memandangkan audio CVR berjaya diekstrak, mungkin terdapat beberapa ahli keluarga terdekat yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang perkara yang berlaku ketika detik terakhir sebelum kemalangan itu.
“Kerajaan mungkin tidak mahu mendedahkan rakaman audio itu kepada umum kerana sensitiviti tertentu tetapi mengapa tidak menghubungi sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga (mangsa) dan membenarkan mereka mendengar….ini akan memastikan ketelusan.
“Kementerian boleh memanggil ahli keluarga yang terjejas untuk berkumpul dan menerangkan lebih lanjut mengenai penemuan itu secara terperinci, hal teknikal, memainkan audio CVR…jika tidak panjang, mungkin beberapa minit,” katanya sambil menambah beliau percaya semua keluarga mangsa masih mencari jawapan mengenai tragedi itu.
Idris, 41, kakitangan kerajaan negeri, antara 10 yang maut dalam tragedi itu.
Beliau adalah pegawai khas kepada anggota EXCO kerajaan negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, yang turut terkorban.
Mangsa dalam perjalanan bersama tujuh yang lain termasuk Johari dan dua anak kapal menaiki pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) dari Langkawi ke Lapangan Terbang Subang ketika nahas itu berlaku kira-kira jam 2.45 petang.
Artikel berkaitan: Laporan awal nahas Elmina : Kedua-dua juruterbang sihat, mendapat rehat cukup sebelum penerbangan
Nahas itu mengorbankan kesemua lapan orang di dalam kapal dan dua pengguna jalan raya.
Laporan Awal Biro Siasatan Kemalangan Udara itu menyatakan audio 30 minit terakhir tragedi itu akan dimasukkan dalam Laporan Akhir dijangka dikeluarkan pada Ogos depan.
Artikel berkaitan: Laporan awal nahas Elmina: Fail audio, CVR pesawat dipulihkan makmal AS