comscore
Tumpuan :
Nasional

Wartawan portal berita beri keterangan isu artikel Kasino Forest City

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Wartawan sebuah portal berbahasa Inggeris selesai dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung penerbitan artikel mengenai kasino di Forest City.

Individu berkenaan dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 11.00 pagi tadi setelah dirakam keterangan lebih 2 jam setelah hadir memberi keterangan pada jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan diawalkan berbanding waktu asal ditetapkan pada jam 11.00 pagi.

“Proses rakaman keterangan berlangsung di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya yang ditemui media.

Pada Jumaat lalu, Tan Sri Razarudin memaklumkan siasatan dijalankan susulan satu laporan yang dibuat peguam ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan berhubung artikel berunsur fitnah bertajuk ‘Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg’.

Siasatan dilakukan selepas artikel itu didakwa mengandungi pernyataan palsu, tidak benar, tidak beralasan dan tidak disahkan.

Justeru, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Terdahulu, beberapa pihak menggesa kerajaan supaya menyaman dua agensi media asing berhubung laporan penerbitan artikel berniat jahat mengenai perancangan pembangunan kasino di Forest City.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg berhubung perancangan pembinaan kasino di Forest City.

Mereka menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media terbabit atas dakwaan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini