comscore
Tumpuan :
Nasional

Waspada tawaran pakej haji pihak tidak bertanggungjawab – TH

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan umat Islam Malaysia supaya lebih berwaspada dengan sebarang tawaran pakej haji oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan visa yang tidak sah bagi mengerjakan ibadah haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, pemberian visa haji selain melalui kuota rasmi Malaysia merupakan hak mutlak Kerajaan Arab Saudi.

Menurutnya,kebenaran memasuki kawasan Arafah, Mudzalifah dan Mina (Masyair) untuk menunaikan ibadat haji hanya diberikan kepada jemaah yang mempunyai visa haji yang sah sahaja.

Katanya, manakala visa lain bagi tujuan pelancongan, pekerjaan, perniagaan, pengajian, umrah dan sebagainya tidak akan dibenarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab.

“Setiap kali tiba musim haji akan muncul segelintir pihak yang cuba membuat pelbagai tawaran visa dan pakej haji di luar kuota haji negara dan paling orang ramai perlu memeriksa dengan teliti terlebih dahulu setiap tawaran yang diberikan termasuklah jenis visa yang digunakan,”katanya melalui satu kenyataan.

Media hari melaporkan, 300 bakal haji yang kini berada di Makkah berdepan situasi kebingungan untuk mengerjakan haji selepas agensi pengurusan menggunakan visa pelancong.

Perkara itu dikongsi menerusi hantaran di Facebook oleh seorang pengguna dikenali Zhyema Zhyedee menerusi Forum Umrah DIY selepas dihubungi rakannya yang meminta bantuan bagi menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Syed Hamadah menjelaskan, Kerajaan Arab Saudi melaksanakan kawalan keselamatan yang lebih ketat semasa kemuncak haji dengan sistem pengesahan jemaah haji yang lebih efisyen bagi memeriksa setiap jemaah yang masuk ke kawasan Masyair .

Katanya, sebarang penggunaan visa tidak sah akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerajaan tempatan dan penalti sebanyak SAR10 ribu.

“TH menasihatkan bakal-bakal haji untuk lebih berhati-hati dan hanya menggunakan perkhidmatan pakej haji oleh 25 buah syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH bagi Musim Haji 1445H/2024M”

“Mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini