comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Waste is Amazing 2023’ pupuk budaya 3R melalui fesyen

Muhamad Hilmi bersama fesyen rekaan sisa fabrik denim dan selimut ‘comforter’ yang menjadi juara ‘Waste is Amazing 2023’ anjuran Alam Flora di UiTM Shah Alam. – Foto: NSTP

SHAH ALAM: Rekaan menggunakan sisa fabrik jenis denim dan selimut comforter membawa tuah kepada Muhamad Hilmi Idris apabila dipilih menjadi juara Waste is Amazing 2023 anjuran Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora).

Muhamad Hilmi, 26, tidak menyangka penyertaan sulungnya dengan rekaan The Reflection of Harry Styles yang diinspirasikan daripada gaya fesyen vokalis terkenal Britain itu terpilih sebagai juara berikutan rekaan peserta lain juga sangat menarik serta kreatif.

“Mengenai konsep rekaan, apabila saya mendapat tahu tema pertandingan ini adalah Met Gala, apa yang terlintas pada fikiran saya adalah vokalis Harry Styles yang sebelum ini adalah ahli sebuah kumpulan (boy band) dan ketika itu fesyen pakaian dia adalah biasa.

“Sehingga pada 2017, baru penyanyi itu mula bereksperimen dengan fesyen sendiri sehingga menarik banyak jenama besar untuk bekerjasama dengannya.

“Justeru, saya mengambil inspirasi gaya fesyen beliau dalam rekaan saya pada pertandingan ini dan mengambil masa tiga minggu untuk menyiapkannya,” katanya ketika ditemui selepas Waste is Amazing 2023 di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini.

Model memperagakan pelbagai kreativiti fesyen yang dihasilkan oleh pelajar pada Waste is Amazing Fashion Show anjuran Alam Flora Sdn Bhd di UiTM Shah Alam. – Foto: NSTP

Beliau berkata, rekaannya menggunakan sekitar 10 kilogram (kg) sisa fabrik daripada denim dan selimut yang dikumpul ketika membuat satu projek lain bersama rakan sebelum ini.

Katanya, kos yang dikeluarkan dalam menyiapkan rekaan berkenaan adalah kira-kira RM50 untuk pembelian cat serta aksesori tambahan.

“Dengan rekaan ini, kita sudah memberikan nafas baharu kepada 10kg sisa kain daripada terbuang ke tempat pelupusan sampah,” katanya yang juga alumni UiTM dalam Rekaan Fesyen.

Pada pertandingan dengan tema ‘Met Gala: Rekaan Hollywood Romantik & Glamor’ itu, Muhamad Hilmi membawa pulang RM3,000 beserta trofi, mahkota, selempang dan sijil penyertaan; tempat kedua dimenangi Attiya Balqist Asha’ari dengan rekaan The Sweet Blossom yang membawa pulang RM2,000, manakala tempat ketiga dimenangi Siti Nabilah Mohd Roslide dengan rekaannya, Amazing Beauty of Allium Cepa membawa pulang RM1,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan, berkata tema tahun ini sejajar dengan matlamat Alam Flora yang lebih luas untuk mempromosikan tiga R – Reduce, Reuse and Recycle.

“Kelestarian di Alam Flora bukan sekadar plastik kitar semula. Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi pengurusan sisa kami semasa perkhidmatan operasi kami.

“Aspek unik acara Waste is Amazing 2023 adalah kerjasama antara Alam Flora dan UiTM bertujuan untuk memupuk kesedaran kitar semula dalam kalangan belia, yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan lebih mampan,” katanya.

Loading...
Terkini