Tumpuan :
Nasional

WBB bakal dimuktamad dalam pemukiman 3 hari

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media khas berkenaan waktu kerja berlainan bagi kakitangan sektor kesihatan di ibu negara. – FOTO: NSTP

Oleh: Farah Nabilah Wazer

KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) untuk petugas kesihatan akan dibincangkan dalam satu pemukiman anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula hari ini hingga 19 Januari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pemukiman melibatkan pimpinan tertinggi itu turut memberi tumpuan kepada isu sumber manusia, peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan, serta ketidakseimbangan agihan petugas kesihatan.

“Pagi ini suatu sesi libat urus telah dianjurkan melibatkan lebih 1,000 pegawai dan pakar perubatan. Dapatan daripada sesi ini akan dibincangkan pada pemukiman tersebut,” katanya.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media khas di ibu negara siang tadi, beliau menambah, pemukiman ini adalah inisiatif KKM untuk memperkukuh keterlibatan pelbagai pemegang taruh demi kepentingan bersama.

WBB merupakan cadangan jadual kerja baharu yang dirangka oleh petugas KKM menerusi siri libat urus sejak 22 Januari tahun lalu.

Cadangan ini melibatkan beberapa jabatan di fasiliti kesihatan terpilih serta pegawai dan pakar perubatan yang dikenal pasti.

Sistem WBB dirancang untuk berjalan seiring dengan sistem sedia ada, iaitu sistem atas panggilan (on-call) dan sistem syif.

Namun, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah menyuarakan kebimbangan tentang pelaksanaan WBB yang berpotensi memburukkan lagi isu kekurangan tenaga kerja, meningkatkan beban tugas doktor dan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.

Selain itu, sistem perintis ini juga dikatakan boleh menyebabkan kehilangan pendapatan dalam kalangan pegawai perubatan dan pakar.

Sementara itu, Hartal Doktor Kontrak turut melahirkan rasa tidak puas hati dan menggesa KKM menarik balik cadangan pelaksanaan sistem WBB demi menjaga moral dan kebajikan petugas kesihatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini