comscore
Tumpuan :
Nasional

Wisma Putra semak dakwaan MyKad, lesen memandu ditemui di Ukraine

Bangunan Kementerian Luar Negeri. -Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa susulan tular MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia dijumpai di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Wisma Putra berkata, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat itu.

Menurutnya, maklumat itu juga sudah dipanjangkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pengesahan.

“Kami dengan hormatnya memohon pihak media dan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

“Kami juga ingin menekankan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab individu masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, walaupun Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri.

Terdahulu, tular sekeping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

Ia didakwa ditemui selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menyemak kesahihan maklumat terbabit.

“Buat masa ini PDRM sedang menyemak sama ada ia benar atau sebaliknya dan kita juga berhubung dengan Kementerian Luar Negeri bagi mendapatkan maklumat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini