
LOS ANGELES: Pelakon kelahiran Australia Hugh Jackman umum bercerai dengan isterinya, Deborra-Lee Furness, selepas 27 tahun melayari bahtera perkahwinan.
Laporan majalah People, Jackman, 54, dan Deborra, 67, bersyukur rumah tangga mereka mampu bertahan hampir tiga dekad.
“Perjalanan kami kini berubah dan kami memutuskan untuk berpisah demi mengejar kemajuan diri sendiri,” demikian kenyataan mereka.Pasangan terbabit bertemu di set penggambaran program TV berjudul Correlli pada 1995.
Deborra adalah pelakon yang cukup popular ketika bertemu Jackman sewaktu dia masih baru bertapak dalam industri lakonan.
Mereka berkahwin pada April 1996 dan kemudian mengambil anak angkat yang kini berusia 23 dan 18 tahun.
Bagaimanapun, keluarga masih akan jadi keutamaan mereka.
“Kami melangkah ke fasa baharu ini dengan rasa syukur, cinta, dan kebaikan. Kami sangat menghargai untuk kamu faham dan menghormati privasi kami sebagai keluarga menjalani semua peralihan dalam hidup,” kata kenyataan itu lagi.
Jackman yang cukup popular dengan watak Wolverine dalam rangkaian filem X-Men serta The Greatest Showman tidak pernah lekang berkongsi mengenai hubungan mereka di media sosial.
Pada ulang tahun terbaru mereka April lalu, dia sempat mengucapkan rasa cintanya terhadap Deborra.
Pasangan itu turut dilihat bergambar sama pada Julai lalu di sebuah kejohanan tenis di Wimbledon, London.