comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Wow Factor’ untuk tarik minat bergelar “Si Baju Hijau”

Pengarah Karier (UKM), Dr. Salleh Amat.

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR : Usaha yang dilakukan Tentera Darat untuk memberi penerangan bagi menarik minat kaum bukan Bumiputera menyertai pasukan keselamatan merupakan usaha yang baik dan wajar diperluaskan.

Bagaimanapun, pihak terbabit dicadang untuk mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh.

Menurut Pengarah Karier Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Salleh Amat, bidang-bidang kerjaya dalam ketenteraan perlu lebih ditonjolkan kepada masyarakat.

“Kalau di luar negara, contoh Amerika Syarikat. Apabila seseorang rakyat mereka menjadi seorang tentera, ia menjadi satu perkara yang ada ‘wow factor’ kepada masyarakat.

“Oleh itu, ‘wow factor’ menjadi seorang anggota tentera kita perlu lebih dipromosikan misalnya memilih anggota yang sesuai yang terdiri dari pelbagai kaum untuk berkongsi tentang pengalaman dalam pasukan tentera.

“Selain menonjolkan bidang-bidang kerjaya pertahanan, mengadakan promosi melalui siri jelajah yang lebih meluas termasuk menghasilkan karya layar skrin yang menerapkan ketenteraan. Ini sudah pasti akan dapat perhatian mereka.” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ts. Ahmad Thibri Mashri.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung  (GPMS), Ts. Ahmad Thibri Mashri berkata pendedahan kepada pelajar bukan bumiputera dapat mewujudkan serampang dua mata diantara kerjaya sebagai seorang anggota tentera dan juga bidang yang diceburi dalam ketenteraan itu sendiri.

“Ia juga merupakan satu cabang kerjaya yang meluas didalam Angkatan Tentera, dimana mereka bukan sahaja berkhidmat sebagai anggota badan beruniform semata-mata malah mereka boleh memilih kerjaya di dalam tentera.

“Umum mengetahui, dalam tentera mereka ada pelbagai bidang kerjaya seperti kejuruteraan, komunikasi dan teknologi maklumat (IT), kesihatan dan pelabagai lagi,” katanya

Ahmad Thibri turut menyeru semua pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama-sama dalam usaha memberi pendedahan kepada masyarakat bukan bumiputera dari peringkat sekolah lagi.

“Semua pihak perlu memainkan peranan tidak terhad kepada ATM sahaja. Bilamana ATM masuk ke dalam sekolah, ekosistem pendidikan negara itu sendiri perlu sambut usaha yang dilakukan oleh pihak keselamatan itu bagi meningkatkan lagi penglibatan masyarakat bukan bumiputera dalam ketenteraan.

“Kita sebagai rakyat Malaysia sangat mengalu-alukan penglibatan semua masyarakat majmuk di negara ini. Sekarang jumlah penglibatan bukan bumiputera rendah kira-kira 3 peratus, tetapi kita perlu berusaha untuk mencapai ke arah itu yang mana kepelbagaian kaum dalam pasukan keselamatan.” ujarnya.

Sebelum ini, Tentera Darat dilaporkan mengadakan kempen penerangan di sekolah sebagai usaha menarik minat kaum bukan Bumiputera menyertai pasukan keselamatan berkenaan, selain penerangan berhubung peluang kerjaya dalam satu daripada cabang bersenjata dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Loading...
Terkini