comscore
Tumpuan :
Nasional

Wujudkan laluan kontra atasi kesesakan di CIQ BSI

Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Susulan kesesakan luar biasa di dua pintu masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) kerajaan negeri Johor menyarankan supaya laluan kontra kepada orang awam dibuka.

Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, laluan kontra itu khusus bagi pengembara yang menggunakan laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam, terutama sekali sewaktu musim cuti sekolah atau cuti panjang.

Katanya, kesesakan luar biasa berlaku di CIQ BSI dan KSAB sejak semalam susulan musim cuti sekolah, cuti umum dan cuti hujung minggu yang jatuh serentak.

Foto: NSTP

“Petang semalam sahaja (1 Jun) lebih 258,000 orang pengembara menggunakan laluan di CIQ BSI, dan 63,000 orang pengembara lagi menggunakan laluan KSAB.

“Bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, saya meminta pengurusan BSI dan KSAB untuk mempertimbangkan laluan kontra dibuka khusus bagi pengembara yang menggunakan laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam.

“Laluan kontra ini boleh diaktifkan bagi pergerakan masuk (inbound) dan keluar (outbound) dari negara ini dalam tempoh tertentu, seperti musim cuti sekolah atau musim perayaan.

Foto: NSTP

“Saya juga memohon supaya pegawai Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk terus cekal dan tabah memastikan kelancaran aliran trafik keluar dan masuk ke negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz membuat tinjauan ke CIQ BSI susulan aduan orang ramai mengenai kesesakan luar biasa di pintu masuk di Tambak Johor itu, hari ini.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut meminta pengguna Tambak Johor dan Laluan Kedua untuk merancang perjalanan terlebih dahulu.

“Ia supaya mereka tidak terperangkap dalam kesesakan di atas jalan. Semoga anda semua sampai ke destinasi dengan selamat,” katanya.

Loading...
Terkini